Penggunaan Puisi Kanak-kanak di dalam pembelajaran Bahasa Melayu

November 3, 2008

Juffri Bin Supa’at 

 

Esei ini akan memberi takrifan pembelajaran bahasa dan menyentuh ciri-ciri yang terdapat di dalam puisi kanak-kanak dan bagaimana ia dapat membantu di dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Ia juga menganjurkan beberapa kegiatan yang boleh dilakukan dengan menggunakan puisi kanak-kanak untuk mempelajari bahasa.

penggunaan-puisi-dan-pantun-di-dalam-pembelajaran-bahasa-melayu-untuk-kanak

 

 

 

1.0   Pengenalan

Bahasa tercetus dengan gabungan beberapa komponen seperti bunyi dan makna serta struktur yang digunakan sehari-hari. Komponen-komponen bahasa ialah Fonologi, Semantik dan Nahu. Fonologi ialah komponen yang “mengawal struktur dan tata bunyi, manakala komponen kedua ialah semantik yang merangkumi perbendaharaan kata atau pemahaman gagasan kata-kata yang diujarkan atau diluahkan” (Berk, 2003). Nahu atau tatabahasa ialah yang digunakan untuk menyusun kata-kata. Untuk tujuan kertas kerja ini, tumpuan akan diberikan kepada Fonologi dan Semantik.

Mengenali bahasa bermakna kesemua komponen ini dapat dikuasai dan digunakan sebagai sistem perhubungan. Apa yang kita ketahui ialah bahasa yang digunakan kanak-kanak selalunya tidak sama dari segi makna dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa. Sudah tentu untuk menguasai bahasa, kanak-kanak harus terlebih dahulu membina perbendaharaan kata mereka supaya mereka dapat memperhalusi makna dan juga membuat kaitan kata-kata tersebut.

Menurut Howard Gardner (1993), seseorang yang memiliki kecerdasan bahasa (linguistik) mahir bertutur dan juga menulis dan salah satu cara memupuk kecerdasan ini ialah “menghafal puisi yang popular dan kemudian dibaca dengan kuat” (Burnett 2002: 105).

2.0 Puisi Tradisional/Puisi Kanak-Kanak
 
Karya sastera seperti puisi dan pantun menggambarkan perasaan manusia seperti gembira, sedih, marah dan takut. Maka itu sastera yang baik yang ditulis dengan bahasa yang indah akan dapat menarik minat kanak-kanak. Puisi tradisional yang telah dicipta sejak zaman berzaman dapat memainkan peranannya didalam pembelajaran bahasa kepada kanak-kanak. Menurut Donald Graves (1992:3), puisi “menyatukan bunyian dan makna di antara baris kata-kata”. Puisi tradisional telah mengenalkan kepada kanak-kanak dari berbagai generasi kepada dunia nyata yang dilalui sehari-hari selain juga mengenalkan mereka kepada dunia imaginasi. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan kaitan kemahiran bahasa ini yang dapat dilakukan melalui Puisi kanak-kanak.

3.0 Rima dan Irama

Di antara ciri-ciri yang terdapat di dalam puisi tradisional ialah nilai rima dan iramanya. Memang secara semula jadi, manusia akan mempunyai tindak balas terhadap rima dan irama.

3.1 Pergerakan Fizikal

 Ia juga dapat mencetuskan berbagai perasaan dan juga pergerakan fizikal yang menjadikannya satu kegiatan yang bukan saja menyeronokkan, bahkan satu kegiatan yang kreatif juga.

Sebagai contoh, Puisi “Pok Amai-Amai”;

Puisi ini harus dibacakan dengan gerak tangan yang melakukan tepukan dan irama yang pasti akan menarik perhatian kanak-kanak terutama anak-anak kecil.Satu lagi contoh ialah puisi,

 

Pak Cokok genggam gamit
Pak Syawal hamba raja

Minta Cekur diberi kunyi

Nak ubat ayam buta

Sekiranya anda menggenggam-gamitkan jari-jari anda di depan si kecil ketika mendendangkan puisi ini, maka ia pasti terangsang untuk turut sama dan meniru melakukan gerakan-gerakan tersebut.

 

 

4.0 Pengulangan
 
Pengulangan kata-kata amat penting di dalam pembelajaran bahasa terutama kepada kanak-kanak. Sekiranya perkataan itu dilihat berulang kali, ia sudah pasti dapat membantu kanak-kanak itu di dalam proses mengingat dan mengenalpasti patah-patah perkataan yang dikenalkan

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Mary Jalango (1997), di sebuah tadika di Amerika Syarikat, sekumpulan kanak-kanak yang didedahkan dengan sebuah puisi yang mempunyai perkataan yang berulang sebanyak 11 kali, akhirnya terdorong untuk turut sama membaca bahan-bahan itu.

Melalui pengulangan, kanak-kanak itu dapat mengenal perkataan dan frasa yang disampaikan dan akhirnya dapat menggunakannya.

5.0 Perbendaharaan Kata
 

 
 

 

Puisi amat berguna untuk membina perbendaharaan kata. Ia juga memberi makna perkataaan melalui konteks yang disampaikan oleh puisi-puisi tersebut dan juga menerangkan maksud dan maknanya. 

Kegiatan 1
Tema: Serangga
Tujuan pembelajaran: Mengenalkan kosa kata, Rama-rama, Kupu-kupu dan Ulat bulu, Belalang

6.0 Kegiatan Melalui Puisi
Puisi: Lagu Rama-Rama
 

 

 
 

 

Lagu Suka Ramai
 
Belalang rama-rama
hinggap pohon rambai
Mari sama-samanyanyi suka ramai.

Kita suka rama-rama,

macam-macam warna

Berkawan sama-sama

terbang sini sana.

Rama-rama

Sama-sama

Dari ulat jadi kepompong

 ia tidur dalam kelongsong

Bila waktu kepompong pecah

Jadi rama-rama yang indah.

Rama-rama terbang melata

Sungguh cantik aneka warna

Hisap madu di kebun bunga

Tapi ia tak hidup lama.

 

Kegiatan 2
Tema: Masa

Tujuan pembelajaran: 

Mengenalkan kosa kata, Senja, siang, malam, asar dan juga konsep waktu

 

Puisi:  Senjakala

Asar sudah lepas, hari sudah petang

 Main sudah puas, mari kita pulang

Senjakala, senjakala, mari kita pulang.

Malam sudah datang, siang sudah pergi

Sekarang kita pulang, esok datang lagi

Senjakala, senjakala, esok datang lagi

 

Waktu Belajar

Waktu belajar jangan main-main

Guru tunjuk ajar jangan ingat lain

Menulis melukis buat sampai habisMembaca mengira cuba sampai jaya

Waktu belajar cubalah belajar

Ketika bermain cubalah bersama

Belajar bermain jangan campur-campur

Majulah jayalah murid-murid semua.

 

 

Datuk Harimau
Datuk Harimau pukul berapa, pukul satu

 

Datuk Harimau pukul berapa, pukul dua

 

Datuk Harimau pukul berapa, pukul tiga

Datuk Harimau pukul berapa, pukul empat

Datuk Harimau pukul berapa, pukul lima

Datuk Harimau pukul berapa, pukul enam

 

Datuk Harimau pukul, pukul berapa tujuh

 

Datuk Harimau pukul berapa, pukul lapan

Datuk Harimau pukul berapa, pukul sembilan

Datuk Harimau pukul berapa, pukul sepuluh.

Kegiatan 3
Tema: Haiwan

Tujuan pembelajaran:  

Mengenalkan kosa kata, Kuda, Kucing, Katak

 

Puisi:  Kuda
Saya ada kuda, dibuat oleh ayah

 

Leher pakai tali, kuda pun mahu lari 
Oh kudaku garang
ekornya sangan panjang

Kuda ayah buat dari pelepah pisang

Kucing

Saya ada satu kucing

Di lehernya ada loceng

pandai menari pusing-pusing

Saya gelar dia ching, ching

Ching, ching ching saya panggi dia

Kling, kling, kling berbunyi locengnya.

 

Katak Lompat

Lompat si katak lompat

Lompatlah tinggi-tinggi

Cepatlah adik cepat

Cepatlah bangun pagi-pagi

Kalau adik malas lagi

Malas bangun pagi

La… La…. la…

Nanti kita rugi.

Menyusun kegiatan amat penting. Setiap kegiatan harus merangkum beberapa kemahiran umpamanya kemahiran mendengar, bercakap dan juga melihat perkataan. Ia juga harus memberi ruang kepada kanak-kanak tadi untuk terlibat sama.
 7.0 Kesimpulan
Sekiranya pembelajaran bahasa dapat dijalankan dengan cara yang menyeronokkan, ia sudah tentu dapat membantu kanak-kanak mempelajarinya. Puisi-puisi ini dapat dijadikan dasar untuk perbincangan dan juga perkongsian pengalaman di antara para pelajar. Selain dari itu, mereka juga dapat melakonkan perasaan itu melalui gerakan tangan dan badan serta mimik muka. Akhir kata, kegiatan yang dapat dilakukan dengan menggunakan pendekatan pelbagai deria dapat membantu kanak-kanak mengasah kemahiran mendengar, bacaan, penulisan dan juga lisan. Ciri-ciri penting di dalam pembelajaran bahasa.
Bibliografi
 
Berk, L. E. (2003). Child Development. Ablongman (sixth edition)

Graves, D.H (1992). Explore Poetry. Portsmouth, NH: Heinemann

Jalongo, M. R., Ribblett, D. M. (1997). Using song picture books to support emergent literacy. Childhood Education, Fall 1997; 74:1.

Nani Menon, Rohani Abdullah, (2004). Panduan Kognitif Kanak-Kanak Prasekolah. PTS publications and distributor Sdn. Bhd.

Rohani Rustam & Jamiah A Bakar (1988). Bacalah Sayang!. Times Book International.

Steele, P. (1998). Rhymes for Language Development. NTUC Childcare Co-perative Ltd.

Tompkins, G. E. (2003). Literacy for the 21st Century. Merrill Prentice Hall.

Zubaidah, Mohsen, (2005). Timang tinggi-tinggi. NLB. Ed. Juffri Supa’at.

 

 

About these ads

One Response to “Penggunaan Puisi Kanak-kanak di dalam pembelajaran Bahasa Melayu”


  1. Precisely how long did it take u to post “Penggunaan Puisi Kanak-kanak di dalam pembelajaran Bahasa Melayu Puisi Berirama”?
    It also has loads of excellent info. Thx -Ahmad


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: